Thursday, June 7, 2018


Bila Hati Wanita Terguris

Tiada yang paling sakit selain dari menahan rasa terguris oleh kata-kata yang diucapkan oleh mulut sesama manusia. Paling sakit jika kata-kata kurang enak didengar itu dilemparkan oleh insan yang telah kita pilih untuk menjadi teman sehidup semati kita iaitu Encik Suami. Pernahkah terjadi kepada anda suami memarahi dan tidak puas hati dengan salah seorang dari ahli keluarga anda. Pernahkah anda rasa sangat tersepit diantara keluarga sendiri dan suami. Dan pernahkah anda rasa ingin mati hidup semula supaya sekali lagi boleh mengubah pilihan hidup anda dengan lelaki lain.
Apa-apapun sedaya upayalah bersabar di dalam hati. Cabar diri anda untuk menahan mulut anda untuk membalas balik kata-kata tidak enak itu kembali, kerana ianya sama sekali tidak akan pernah membantu memperbaiki situasi.
Jika kita merasakan diri di pihak yang benar dan mungkin juga situasi kita sukar untuk difahami oleh orang lain, maka berdiamlah daripada kita berbalas kata-kata. Bunyinya sangat sukar, apatah lagi bila ingin diamalkan seribu kali sukar jadinya.
Tidak kira dalam keadaan tahap apa sekalipun kemarahan kita kita sama-sama cuba lakukan beberapa tips dibawah;
  • Tarik nafas panjang-panjang dan hembus sehabisnya ingatlah pada Tuhan supaya kita tidak lari dari pegangan hidup kita.(ingatlah marah,memaki hamun,panas baran dan kawan-kawan seangkatan dengannya bukan pegangan hidup seseorang yang percaya kepada kemuliaan agamanya.)
  • Ambil sekeping kertas dan tulis kemarahan anda tetapi jangan menyebutnya dan bila telah siap ditulis kesemua jenis kemarahan anda pada kertas itu, koyakkan kertas itu sehingga ke cebisan terakhir dan buang dalam tong sampah. (menandakan berakhirnya kemarahan anda)
  • Cuba ingat wajah-wajah insan yang selalu memberikan kita semangat positif. Ingat cara mereka menjalani hidup mereka. (ingatkan diri sendiri supaya jadi sebahagian dari mereka)
  • Cari ruang untuk bersendirian seketika. (Ingat cuma seketika sahaja untuk mencari ketenangan diri, kerana hanya diri kita sendiri boleh menghargai perasaan sendiri. Jadi jangan lokek memberikan ruang untuk diri sendiri bermuhasabah).
 Sekiranya kita pernah berada di dalam situasi tersepit seperti ini pastinya kita faham dan akan selalu beringat bahawa untuk jangan marah dalam keadaan yang bernada sombong seolah-olah kita sudah cukup sempurna untuk menjadi seorang pemberi nasihat. Jangan pernah sekalipun kita kaum wanita merendahkan martabat kita dengan menyimpan sifat seperti ini. Bagi seorang wanita adalah satu kegagalan bagi seorang lelaki yang telah mengguris hatinya dalam keadaan dia berdiam diri dan tidak mampu mempertahankan dirinya.